Post pertama saya ini saya akan ceritakan sedikit tentang proses pemajuan hartanah. Memandangkan saya bekerja di salah sebuah syarikat pemaju swasta, saya ingin berkongsi sedikit pengetahuan saya mengenai proses-proses yang terlibat dalam membuat sesuatu pembangunan.
PERMOHONAN KEBENARAN MERANCANG
Kebiasaanya, permohonan Kebenaran Merancang (KM) adalah proses pertama dalam mendapatkan kelulusan dari pihak berkuasa sebelum sesuatu pembangunan itu dimulakan.
Bagi sesetengah kes, urusan-urusan tanah seperti pecah sempadan, tukar syarat dan sebagainya perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum permohonan KM dikemukakan.
Untuk mengemukakan permohonan KM, Juruperunding Perancang Bandar yang bertauliah perlulah dilantik terlebih dahulu. Mereka ini lah yang akan menguruskan kesemua perkara-perkara yang berkaitan permohonan KM dari peringkat awal sehinggalah ianya diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Selain dari Perancang Bandar, perunding-perunding profesional yang lain juga perlu terlibat iaitu Jurukur Tanah, Jurukur Bahan, Arkitek, Jurutera C&S dan Jurutera M&E. Bagaimanapun, input dari perunding-perunding profesional ini tidaklah begitu 'detail' dari masih di peringkat konsep semasa pengemukaan KM.
Tempoh masa dan syarat-syarat permohonan adalah sedikit berbeza antara satu PBT dengan PBT yang lain. Walaubagaimanapun, asasnya adalah hampir sama. Tempoh dari mula hantar permohonan sehinggalah pelan KM diluluskan adalah dianggar antara 4-6 bulan. Antara perkara-perkara penting yang diambilkira semasa permohonan KM dikemukakan adalah :
- Jalan masuk utama ke kawasan pembangunan.
- Kepadatan pembangunan.
- Luas lantai kasar dan ketinggian bangunan yang akan dibangunkan.
- Pembangunan kawasan sekitar juga dilihat samada projek yang dicadangkan bersesuaian.
- Aspek-aspek asas infrastruktur juga ditentukan terlebih dahulu pada peringkat KM iaitu seperti punca bekalan air, bekalan elektrik, sistem pembetungan, telekomunikasi dan juga sistem saliran.
Apabila permohonan KM sudah diluluskan, maka pihak pemaju atau pemilik tanah bolehlah ke peringkat seterusnya iaitu pengemukaan Pelan Bangunan, Pelan Kerja Tanah, Pelan Jalan & Perparitan dan seterusnya memohon Permit Iklan dan Jualan serta lesen pemaju dengan KPKT.
No comments:
Post a Comment